Sunday, June 23, 2013

Mencari Semangat yang Hilang

Assalamualaikum anak-anak ibu..

Sudah lama ibu tidak menulis untuk anak-anak ibu. Sudah lama juga ibu rasa ibu tidak betul-betul beri masa untuk jadi ibu yang baik.

Malam ni, sebenarnya ibu sangat sedih. Penat dan letih mengenangkan semangat yang semakin hari semakin hilang. Letih dan lesu dek kerja yang tak pernah habis. Minda yang penat memikirkan mana kerja yang perlu dilakukan. Seolah-olah berkejar ke sana ke sini namun tiada hasil. 

Disiplin. Perkataan itulah yang memberi kelemahan dan kekuatan pada ibu. Ibu akui.. memang ibu tidak berdisiplin membuat apa-apa pekerjaan pun. Ibu kesal sebab ibu tidak mampu mendisiplinkan diri sendiri. Apatah lagi mendisiplinkan anak-anak ibu.

Semangat yang semakin hilang memang telah banyak kali ibu cuba kuatkan dan ibu tahu kekuatan ibu terletak pada anak-anak ibu. Bila ibu fikirkan tentang nasib anak-anak, ibu terasa seolah-olah kekuatan datang semula.

Namun setiap kali, anak-anak ibu tidak menghargai apa yang ibu lakukan dan seolah-olah buat tidak nampak, ibu lemah semula.

Ibu telah pun cuba untuk mencuba menjadi ibu yang terbaik namun mungkin ibu tidak pun cuba sebenarnya untuk menjadi ibu yang terbaik. Kadang-kadang, kita tidak tahu bagaimana kita akan diuji. Oleh sebab itulah kita harus kuat semangat dan cuba untuk tidak berputus asa. 

Kadang-kadang jika kita fikirkan tentang orang yang mengharapkan kita, mungkin semangat akan datang. Sudah banyak kali juga ibu cuba kuatkan semangat tetapi pada hakikatnya, ibu sendiri tidak tahu berapa lama lagi semangat ini akan kuat.

Mungkin kata-kata semangat dari diri sendiri sahajalah yang dapat membantu ibu menguatkan semangat,

Ibu nak anak-anak ibu tahu bahawa ada ketikanya apabila kita diuji olehNya, kita terasa seolah-olah hilang arah dan mungkin ada kalanya terfikir untuk putus asa, ingatlah Allah sentiasa bersama kita.. Tidak mungkin Dia akan meninggalkan kita.

Yang pasti, apabila hilang semangat, kembalilah kepadaNya dan pohon agar Allah kurniakan kita kekuatan untuk menghadapi segala-galanya.. Laa Haula wala quwwata illaa billaa hil 'aliyyul 'adziim... amiin..